Rabu, 18 Februari 2009

CATATAN ZAMAN KANAK-KANAK 2


Sekitar awal tahun 70-an kampungku masih belum lagi menerima bekalan letrik. Rumahku hanya menggunakan pelita minyak tanah. Menjelang maghrib aku akan mendapatkan pelita-pelita yang kosong dan mengisi minyak untuk dinyalakan. Waktu malam yang gelap, hanya disinari dengan cahaya pelita minyak tanah menyebabkan aku sering tidur awal. Tambahan bunyi bunyian dari ungas dan serangga menjadikan malam semakin kelam. Waktu itu aku paling takut tidur dalam gelap, masihku ingat ' lemas! lemas!' itu teriakan aku jika tersedar dalam gelap kerana api pelita terpadam. Ibu terpaksa memasang pelita sebelum aku tertidur.

Bekalan air juga masih belum ada waktu itu. Sungai Kelantanlah punca air utama. Masih aku ingat, Setiap kali turun ke sungai tak boleh tangan kosong, perlu membawa tong atau baldi untuk diisi airnya dan di bawa kerumah untuk bekalan makan dan minum sekeluarga. Pagi-pagi lagi sudah ke sungai, terasa sejuk hingga ke tulang. Takut mula-mula hendak mandi, tapi sudah masuk ke air barulah tahu airnya tidaklah sejuk sangat dan rasa tak mahu naik pula. Waktu musim kemarau, Sungai Kelantan di tempatku bagaikan ada pesta. Ramai yang datang untuk berkelah. Pasir yang bersih terdampar hingga ke tengah sungai dengan airnya yang cetek menjadi tarikan ramai orang untuk mandi manda dan mencari etak (sejenis kepah).

Dengan letrik dan bekalan air belum ada, yang paling susah dirasakan adalah pada waktu malam bila perut buat hal. Tambahan pula tandas terletak jauh di belakang rumah.

Pada pertengahan tahun 70-an Kampungku sudah mendapat bekalan letrik, jalan kampung pun sudah mula diturap dan bekalan air telah diterima. Kampungku semakin membangun. Malam tidak lagi sunyi kecuali sesekali ketika bekalan letrik terputus cuma menjadi kesukaran waktu itu kepada sesiapa yang berkunjung ke sana adalah terpaksa menuruni dan menaiki bukit melalui jambatan Sungai Krai yang agak curam. (kini telah ada jambatan baru).

Ayah ku bekerja sendiri, sebagai pekebun kecil, ibu membantunya sama, aku juga sering mengikut ayah dan ibu ke kebun getah. Tapi bila musim padi ayah dan ibu ke sawah menanam padi pula. Di Kuala Krai tiada sawah padi, cuma ada kebun getah, kebun buah buahan, hutan, bukit bukau dan Sungai Kelantan.

Aku pernah ke sawah di kampung ibu, pernah bermain-main dengan kawan-kawan di tengah bendang menangkap belalang, bermain layang-layang dan berkejar-kejaran. Waktu balik dari bendang singgah di sungai menangkap ikan dan mandi manda, atau singgah di perigi mandi airnya yang jernih dan sejuk. Di sana aku mula kenal dengan permainan 'dekcok' atau tenteng, 'bidas para', 'pekong tin', batu seremban atau 'selambut', galah panjang dan 'police entery'. Aku mula tahu membuat kerta dengan tin kosong dan tolak rim basikal.

Aku pernah ke sana ketika musim menanam dan menuai padi. Ibu dan ayah sering membawaku. Aku juga pernah membantu ayah dan ibu membanting padi, alangkah teruknya orang tuaku terpaksa bekerja di tengah panas, miang dari sekam padi, terpaksa menbanting tulang demi mendapatkan rezeki.

Ayah ku tegas orangnya, walaupun cuma bersekolah pondok, tapi baginya pelajaran dan akedemik adalah amat penting. Ibu baik dan bertanggung jawab orangnya, mengaji Quran amat dititik beratkan, tapi aku paling malas mengaji Quran waktu itu. Bagaimanapun orang tuaku sanggup berhabisan jika berkaitan dengan pelajaran. 'Bekalan untuk masa depan' katanya. Aku begitu bangga dengan mereka. Dalam serba kekurangan mereka mampu membesarkan kami 7 beradik. Malah ayah mampu membuka tanah hutan dijadikan kebun getah untuk menyara anak-anak bersekolah. Aku yang hidup di zaman moden ini sebidang tanah pun tak mampu untuk dikerjakan, apatah lagi berekar-ekar tanah.

Sungai, alur, bukit dan hutan adalah duniaku, aku sering meredah belukar dan semak untuk melastik dan menahan burung dan menangkap ikan sekila di alur. Bila musim buah tiba, kami selalunya dapat menikmati buah-buahan seperti durian, duku, ciku, langsat, manggis dan rambutan kerana ayahku memiliki kebun di belakang rumah. Aktiviti mengutip buah dan memanjat pokok menjadi tugasan penting masa itu.

2 ulasan: