Sebut sahaja melukis kita akan terus fikirkan tentang membuat contengan, melakar atau mewarna, itulah yang sering tertintas di minda kita. Tetapi sebenarnya melukis adalah proses-proses yang lebih dari itu. Selaian berkait rapat dengan kemahiran dan kreativiti ianya termasuk membentuk kemahiran berfikir.
Teringat saya semalam semasa mengajar membuat logo di tingkatan 3. Saya telah memberikan tugasan pada minggu lepas kepada pelajar secara berkumpulan untuk dibentangkan. pelajar dikehendaki berbincang dalam kumpulan untuk menjana percambahan idea. Saya mengharapkan semua kumpulan akan mengemukakan idea-idea yang baik untuk dikembangkan bagi membuat logo mereka, tetapi malangnya kesemua kumpulan tampil tanpa sebarang idea, tanpa sebarang maklumat, tanpa sebarang lakaran-lakaran awal dan bahan-bahan rujukan yang diperlukan bagi membantu proses kerja mereka.
Setelah dibebelkan dan persoalkan ternyata rata-rata pelajar tersebut malas menggunakan otak mereka untuk memikirkan persoalan yang diberikan. mereka tidak berbincang, tidak mahu bertanya, tidak mencari maklumat dan sebagainya untuk menyiapkan tugasan tersebut. Inilah budaya pelajar kita sekarang ini walaupun meraka terdiri dari pelajar-pelajar yang cerdik.
Saya ingin menyentuh tentang Kurikulum Pendidikan Seni dalam KBSM sebagaimana yang telah dibincangkan oleh Puan Mesna Abd. Rahman, Ketua Panitia Pendidikan Seni SMK Jelai.. Antaranya Pendidikan Seni berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan Seni dalam Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang bertujuan melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif, berpengetahuan dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka terhadap ciri estetik.
Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel.
Oleh yang demikian Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, kebanyakan pelajar kita malah ibu bapa sendiri tidak terbayangkan ke tahap tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan