Selasa, 17 Februari 2009

CATATAN ZAMAN KANAK-KANAK 1

Aku dilahirkan pada hari Rabu 9 Syawal 1387 tahun Hijrah, di Kampung ibuku iaitu Kampung Taker, Machang. Kemudian dibesarkan di Kampung Tualang, Kuala Krai, Kelantan . Semasa kecil aku hanya mengenali Kampung Tualang dan pekan Kuala Krai. Rumah aku waktu itu di dalam dusun buah-buahan dan seawal tahun 70-an ayahku telah membina sebuah rumah baru yang berhampiran dengan jalan. Rumah tersebut diduduki sehinggalah tahun 2007. Masih ku ingat satu hari sewaktu bermai-main di rumah yang belum siap itu, aku terjatuh dari rumah tersebut menyebabkan tangan kiriku telah terseliuh. Kini ia tidak di duduki lagi rumah tersebut telah usang dan menjadi tatapan sejarah keluargaku.

Kuala Krai hanya merupakan satu pekan yang kecil sahaja, tapi banyak memberikan pengalaman dalam kisah hidup zaman kanak-kanakku. Tidak banyak tempat-tempat menarik dan bersejarah di sana. Cuma terkenal dengan ‘Tangga Bredly’ (sekarang Tangga Krai) tempat menyukat banjir dan Zoo Kuala Krai. Tapi bagi aku Kampung Tualang dan Kuala Krai adalah satu daerah yang penuh kedamaian. Keindahan hutannya yang hijau, Bukit bukau yang beralun alun serta pertemuaan dua aliran sungai utama iaitu sungai Galas dan sungai Lebir yang membentuk sungai kelantan yang mengalir tenang tapi bertenaga dan berliku di kaki bukit Kelantan begitu mendamaikan.

Sejak kecil aku gemar menikmati keindahan alam. Aku selalu meredah hutan dan bukit di hadapan rumah aku, Bukit kaji cuaca, Bukit Tangki air atau Bukit Daini Sering aku redah bersama-sama kawan kerana ingin melihat penomena alam serta pemandangan yang mengasyikkan dari tempat yang tinggi. Dari atas Bukit Daini, di sebelah Utara dapat di lihat pekan kecil Kuala Krai, jika cuaca baik pemandanganya dapat dilihat hinggalah ke bukit Baka, Machang. Sebelah Timur terbentang kehijauan ladang getah dan kelapa sawit nan luas dan sebelah barat pemandangan sekitar kawasan-kawasan lembah sungai Kelantan dan deretan bukit bukau serta hutan yang hijau. Dalam hatiku aku begitu kagum dan memuji akan kebesaran Tuhan.

Sekitar awal tahun 70-an kampungku masih belum lagi menerima bekalan letrik. Rumahku hanya menggunakan pelita minyak tanah. Menjelang maghrib aku akan mendapatkan pelita-pelita yang kosong dan mengisi minyak untuk dinyalakan. Waktu malam yang gelap, hanya disinari dengan cahaya pelita minyak tanah menyebabkan aku sering tidur awal. Tambahan bunyi bunyian dari ungas dan serangga menjadikan malam semakin kelam. Waktu itu aku paling takut tidur dalam gelap, ibu terpaksa memasang pelita sebelum aku tertidur.

1 ulasan: