Sabtu, 28 Februari 2009

PERMATA YANG HILANG

Kita telah dikhabarkan dengan dua kematian tokoh seni tampak @ Pelukis tersohor negara, iaitu Dato' Ibrahim Hussein, 72, meninggal dunia 19 Februari 2009 pukul 4.30 pagi di Hospital Pantai, Bangsar. Sebelum ini Allahyarham Mohd Redza Piyadasa, 68 tahun, (1939-2007) yang lebih dikenali sebagai Redza Piyadasa, seorang seniman visual – sejarawan seni visual Malaysia – pengkritik seni – ahli akademik, meninggal dunia pada 7 Mei 2007 jam 6.15 petang di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.


REDZA PIYADASA lahir pada tahun 1939 di Kuantan, Pahang. Berpendidikan awal i Sekolah Abdullah, Kuantan dari 1945 hingga 1956 dan menerima anugerah Cambridge Overseas School Certificate (Grade One) dalam tahun 1957.
Dari tahun 1958 hingga 1959, beliau menyambung pelajaran di Malayan Teachers' College, Brinsford Lodge, England dan menerima ‘Certificate in Education’ dari Institute of Education, University of Birmingham, England. Pengajiannya diteruskan di Hornsey College of Art, London, England dari 1963 hingga 1967 sehingga dianugerahkan Diploma in Art and Design (U.K.)
Beliau kemudiannya menjalani Post-Graduate Studies di Jabatan Seni University of Hawaii, di Honolulu, Hawaii dari tahun 1975-1977 dengan pengkhususan dalam bidang Asian Art History Studies dan Graduate Sculpture Studies sebelum dianugerahkan Master of Fine Arts Degree (M.F.A.)
Selain itu, Piyadasa juga merupakan Graduate-Student Participant Culture Learning Institute, East-West Center, Honolulu dari tahun 1975-1977 yang di akhirnya memberi anugerah Graduate Certificate of the East-West Center. Antara pencapaian tertinggi beliau adalah menerima Anugerah “PRINCE CLAUS AWARD” pada tahun 1998
Pada tahun 60an dan 70an, Redza Piyadasa bertanggungjawab mengisi suatu kelompongan seni yang serius, tatkala di waktu itu hampir tiada perdebatan tentang subjek sejarah atau kritikan seni di Malaysia . Sumbangan besar beliau di dalam bidang tersebut sememangnya membawa kesan yang besar di dalam persejarahan seni tanahair. Melalui penulisan-penulisan beliau mahu pun karya-karya seni tampaknya, Piyadasa meneliti konteks kesenian serta hubungkaitnya untuk pengstrukturan semula tradisi serta nilai seni.



Sementara IBRAHIM HUSSIEN yang meninggal dunia awal pagi 19 Februari 2009 akibat sakit jantung. Allahyarham yang dilahirkan di Sungai Limau, Yan, Kedah, pada 13 Mac 1936, memulakan pengajiannya di bidang lukisan di Nanyang Academy of Arts di Singapura pada 1956 sebelum meneruskan pengajian di Byam Shaw School of Drawing and Painting, London, selama empat tahun pada 1959 dan kemudian ke London's Royal Academy Schools untuk tiga tahun. Ibrahim menerima pelbagai anugerah antaranya "Tokoh Melayu Terbilang" sempena ulang tahun ke-61 Umno pada 2007, Japan Foundation Award (1988), Order of Andres Bello dari Kerajaan Venezuela (1993), Hugo Boss Hall of Distinction (1994) dan anugerah tertinggi Chile bagi orang asing, Comendador of the "Order de Benardo O'Higgins (1996), dan Crystal Award Forum Ekonomi Dunia (1997).

Sesungguhnya kita telah kehilangan dua butir permata yang amat bernilai dalam dunia seni tampak negara. Al Fatihah, semuga roh mereka dicucuri rahmat dan diberkati Allah.

Rabu, 25 Februari 2009

ALHAMBRA, SATU KEAJAIBAN SENI BINA ISLAM

Di Sunting dari : Harian Umum Pikiran Rakyat 10 Oktober 2003


ANDA pasti Kenal salah satu bangunan monumen yang mempunyai sejarah yang cukup panjang, iaitu Istana Alhambra. Alhambra dalam bahasa Arabnya hamra' bentuk jamak dari kata ahmar yang bererti "merah". Kerana bangunannya banyak dihiasi dengan jubin-jubin, bata-bata berwarna merah, serta penghias dinding yang agak kemerah-merahan dengan seramik yang berkonsepkan seni Islam, di samping marmar-marmar yang putih dan indah. Ada pula yang berpendapat bahwa Alhambra dinamakan demikian kerana diambil dari seorang jurubinanya iaitu Al-Ahmar. Hingga saat ini bangunan yang bernilai tinggi seni arkitektur ini memperlihatkan peradaban tinggi orang-orang Islam di zaman dulu. Istana ini berada di bukit La Sabica, masih tetap berdiri sebagai bukti kejayaan Islam di Granada Spanyol.


Istana Alhambra didirikan oleh kerajaan Bani Ahmar atau bangsa Moor (Moria) (bangsa yang berasal dari daerah Afrika Utara), satu kerajaan Islam terakhir yang berkuasa di Andalusia sekarang Spanyol. Kerajaan ini adalah Daulat Bani Ahmar yang berkuasa antara 1232-1492 M, didirikan oleh Sultan Muhammad bin Al-Ahmar atau Bani Nasr yang masih keturunan Sa'id bin Ubaidah, seorang sahabat Rasulullah saw. yang berasal dari suku Khazraj di Madinah. Bangunan Istana Alhambra dibangunkan antara tahun 1238 dan 1358 M oleh sultan tersebut yang diteruskan oleh keturunan raja-raja Bani Ahmar secara beransur-ansur.


Istana ini dilengkapi dengan taman mirta seperti pohon myrtuscommunis dan juga bunga-bunga yang indah harum semerbak, serta suasana yang nyaman. Kemudian, ada juga Hausyus Sibb (Taman Singa), taman yang dikelilingi oleh 128 tiang yang terbuat dari marmar. Di taman ini pula terdapat kolam air pancutan yang dihiasi dengan dua belas patung singa yang berbaris melingkar, di mana dari mulut patung singa-singa tersebut keluar air yang memancar setiap kali masuknya waktu solat. Satu keajaiban yang masih lagi dikaji oleh orang-orang Barat.


Hampir lapan abad lamanya Islam berkuasa di Spanyol, dari Kordoba hingga Granada adalah bukti nyata sebagai kejayaan Islam pada suatu masa dahulu serta peradaban tinggi di tanah Andalusia (Spanyol). Salah satu bukti adalah Istana Alhambra ini, satu bangunan yang telah berdiri hingga sekarang yang hampir lapan abad pula usianya masih tetap kukoh walaupun sebagian kecil ada yang sudah lenyap. Kemasyuran istana ini kerana daya pesona serta keindahan arkitekturnya yang sungguh luar biasa.
(Marsudi Fitro Wibowo)

Selasa, 24 Februari 2009

KEMAMPUAN OTAK YANG MENAKJUBKAN

Dipetik dari www.anglefire.com

Ramai manusia tidak menyedari bahawa otak mempunyai kekuatan yang amat menakjubkan. Ia umpama raksasa gagah yang sedang tidur. Pelbagai eksperimen yang dilakukan oleh saintis membuktikan potensi otak jauh lebih hebat dari apa yang kita sangkakan. Menurut ahli neurologi, kita menggunakan hanya satu peratus dari keseluruhan keupayaan otak yang sebenar. Malah penyelidikan mereka yang mutakhir menunjukkan kita menggunakan kurang dari satu peratus dari kemampuan otak yang sebenar.
Ini bermakna kita telah mensia-siakan 99% potensi otak yang maha hebat ini. Alangkah ruginya harta yang sangat berharga ini kita biarkan berdebu, tidak digunakan, tidak dipedulikan dan tidak dikembangkan.

Otak orang dewasa mengandungi 10,000,000,000 (sepuluh bilion) neuron atau sel saraf. Seekor lebah yang memiliki 900 neuron mampu membuat pelbagai kerja yang mengkagumkan.Ia mampu membina indung lilin, memproses madu yang dikenali sebagai 'raja ubat', membawa masuk udara segar ke dalam sarang, mengawal suhu dan cahaya, menghasilkan cecair pencuci untuk kerja-kerja pembersihan sarang, menganalisa cahaya, berkomunikasi, menjaga kebajikan dan disiplin rakan-rakan.

Manusia yang memiliki sepuluh bilion neuron tentu mempunyai kemampuan jutaan kali ganda dari kemampuan lebah. Cuba bayangkan orang yang mempunyai RM 900 tentu boleh membeli bermacam-macam benda. Dia boleh membeli air tin, nasi lemak, kasut, pakaian, buku, basikal 'racing' dan lain-lain lagi. Bagaimana pula dengan orang yang memiliki RM 10,000,000,000 (sepuluh bilion=sepuluh ribu juta ringgit)? Sudah tentu ia mempunyai kemampuan dan 'kuasa beli' yang jauh lebih hebat. Dia boleh membeli apa sahaja dengan sekehendak hatinya. Dia boleh membeli pizza, ayam goreng di KFC, sekandang lembu, motosikal, kereta, bas, lori treler malah jet pun boleh beli.


Begitulah potensi dan kemampuan otak manusia. Masalahnya sekarang, kita tidak menyedari bahawa kita adalah 'terlalu kaya' dan memiliki kemampuan yang sungguh hebat. Kita mensia-siakan anugrah Allah ini. Kita ibarat si miskin yang tidak menyedari bahawa di bawah rumah kita tersimpan harta karun warisan keturunan kita yang tidak ternilai harganya.

Sekiranya potensi otak ini betul-betul diperkembangkan dan dimanfaatkan, kita akan menjadi seorang Super Pintar dan mampu mengingati apa sahaja maklumat dengan tidak lupa selama-lamanya. Malangnya kita masih mengamalkan budaya malas berfikir.

SENI MENDIDIK BUDAYA BERFIKIR

Sebut sahaja melukis kita akan terus fikirkan tentang membuat contengan, melakar atau mewarna, itulah yang sering tertintas di minda kita. Tetapi sebenarnya melukis adalah proses-proses yang lebih dari itu. Selaian berkait rapat dengan kemahiran dan kreativiti ianya termasuk membentuk kemahiran berfikir.

Teringat saya semalam semasa mengajar membuat logo di tingkatan 3. Saya telah memberikan tugasan pada minggu lepas kepada pelajar secara berkumpulan untuk dibentangkan. pelajar dikehendaki berbincang dalam kumpulan untuk menjana percambahan idea. Saya mengharapkan semua kumpulan akan mengemukakan idea-idea yang baik untuk dikembangkan bagi membuat logo mereka, tetapi malangnya kesemua kumpulan tampil tanpa sebarang idea, tanpa sebarang maklumat, tanpa sebarang lakaran-lakaran awal dan bahan-bahan rujukan yang diperlukan bagi membantu proses kerja mereka.

Setelah dibebelkan dan persoalkan ternyata rata-rata pelajar tersebut malas menggunakan otak mereka untuk memikirkan persoalan yang diberikan. mereka tidak berbincang, tidak mahu bertanya, tidak mencari maklumat dan sebagainya untuk menyiapkan tugasan tersebut. Inilah budaya pelajar kita sekarang ini walaupun meraka terdiri dari pelajar-pelajar yang cerdik.

Saya ingin menyentuh tentang Kurikulum Pendidikan Seni dalam KBSM sebagaimana yang telah dibincangkan oleh Puan Mesna Abd. Rahman, Ketua Panitia Pendidikan Seni SMK Jelai.. Antaranya Pendidikan Seni berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan Seni dalam Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang bertujuan melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif, berpengetahuan dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka terhadap ciri estetik.

Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel.

Oleh yang demikian Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, kebanyakan pelajar kita malah ibu bapa sendiri tidak terbayangkan ke tahap tersebut.

Jumaat, 20 Februari 2009

APRESIASI SENI


Kepentingan kritikan seni di Malaysia masih dianggap baru. Malah kemungkinan ada sesetengah pihak menganggapnya tidak penting. merenung seketika kurikulum yang diajar di sekolah. Menurut pensyarah seni UPSI Mohd Johari Abd Hamid, tidak ada secara serius bidang kritikan dimasukkan dalam mata pelajaran PSV di peringkat rendah & menengah, kalau adapun terpulang kepada inisiatif guru yang berkenaan. keadaan ini memberi kesan kepada kita di mana masyarakat kita akan terus buta seni dan kurang kesedaran seni. pelajar-pelajar kita terus pasif tak berani memberi pendapat atau tak tahu memberi pendapat.

Seni itu relatif dan subjektif. Tiada siapa yang betul dan paling hebat, kerana sudut pandangan kita berbeza-beza. Yang penting perlunya rasa hormat kita pada pandangan orang lain.

Sebab itulah tafsiranya berbeza-beza pada sesuatu karya. Ada yang nampak kotak, ada yang nampak ketak, ada yang nampak katak, ada yang apa pun tak nampak. Lukisan bukan sahaja untuk dinikmati dengan mata tapi untuk dirasa, biar hati yang buat kerja, di samping otak memberi bantuan.

Mentaliti kita berbeza-beza. Ada yang suka pada kecantikan semata-mata, ada yang suka pada kegigihan, ada yang suka pada tahap kreativiti, ada yang suka pada keberanian. Ada dinilai pada tenaga dan kos bahan dan ada menialai pengalaman. Maka karya seni tampak dirai dengan cara yang berbeza, tidak semuanya sama. Itulah cabarannya.

Seni tampak mungkin termasuk dalam golongan elit di Barat sana, di tanah air kita tidak ramai pelukis yang dianggap elit tahapnya kecuali beberapa nama spt Ibrahim Hussein (baru sahaja meninggal semalam 19/2/09), Syed Ahmad Jamal, Latif Mohiddin, sekadar menyebut beberapa nama. Yang lain elit mungkin cuma pada karya atau pada pengumpulnya.

Sayang masyarakat kita masih kurang kemampuan untuk menilai atau membuat apresiasi terhadap karya seni, kalau pandang pun cuma sekadar "ooohhh" "cantiknya" dan "ahhhh" sedangkan mendalaminya langsung tidak ada usaha. kenapa cantik lukisan tersebut, di mana hebatnya lukisan tersebut tidak dapat dipersoalkan.

Bukanlah memaksa mencinta seni, kerana cinta itu tidak boleh dipaksa meskipun ia buta. Tapi benih jika tidak dipupuk dengan baja yang betul akan terbantut tumbesarannya.

Hadirlah melihat pameran-pameran seni tampak jika berkesempatan, sebenarnya adalah satu langkah pemupukan yang bermakna. Pupuk diri kita, pupuk anak-anak kita hargai seni. Di mana Balai Seni Lukis negara?.. mungkin kitapun tak tahu.

Seni itu ada harganya, yang meletakkan harga itu adalah kita. Jika kita tidak menghargainya, maka cabuklah Monalisa karya Leonardo Da Vinci, berabuklah Kabuki Ibrahim Hussein. Pago-pago Latif Mohiddin akan setakat jadi hiasan dinding dan laman. Yang ada bakat akan terus berkarat. Karya yang dah dibuat akan reput berkulat.

Rabu, 18 Februari 2009

CATATAN ZAMAN KANAK-KANAK 2


Sekitar awal tahun 70-an kampungku masih belum lagi menerima bekalan letrik. Rumahku hanya menggunakan pelita minyak tanah. Menjelang maghrib aku akan mendapatkan pelita-pelita yang kosong dan mengisi minyak untuk dinyalakan. Waktu malam yang gelap, hanya disinari dengan cahaya pelita minyak tanah menyebabkan aku sering tidur awal. Tambahan bunyi bunyian dari ungas dan serangga menjadikan malam semakin kelam. Waktu itu aku paling takut tidur dalam gelap, masihku ingat ' lemas! lemas!' itu teriakan aku jika tersedar dalam gelap kerana api pelita terpadam. Ibu terpaksa memasang pelita sebelum aku tertidur.

Bekalan air juga masih belum ada waktu itu. Sungai Kelantanlah punca air utama. Masih aku ingat, Setiap kali turun ke sungai tak boleh tangan kosong, perlu membawa tong atau baldi untuk diisi airnya dan di bawa kerumah untuk bekalan makan dan minum sekeluarga. Pagi-pagi lagi sudah ke sungai, terasa sejuk hingga ke tulang. Takut mula-mula hendak mandi, tapi sudah masuk ke air barulah tahu airnya tidaklah sejuk sangat dan rasa tak mahu naik pula. Waktu musim kemarau, Sungai Kelantan di tempatku bagaikan ada pesta. Ramai yang datang untuk berkelah. Pasir yang bersih terdampar hingga ke tengah sungai dengan airnya yang cetek menjadi tarikan ramai orang untuk mandi manda dan mencari etak (sejenis kepah).

Dengan letrik dan bekalan air belum ada, yang paling susah dirasakan adalah pada waktu malam bila perut buat hal. Tambahan pula tandas terletak jauh di belakang rumah.

Pada pertengahan tahun 70-an Kampungku sudah mendapat bekalan letrik, jalan kampung pun sudah mula diturap dan bekalan air telah diterima. Kampungku semakin membangun. Malam tidak lagi sunyi kecuali sesekali ketika bekalan letrik terputus cuma menjadi kesukaran waktu itu kepada sesiapa yang berkunjung ke sana adalah terpaksa menuruni dan menaiki bukit melalui jambatan Sungai Krai yang agak curam. (kini telah ada jambatan baru).

Ayah ku bekerja sendiri, sebagai pekebun kecil, ibu membantunya sama, aku juga sering mengikut ayah dan ibu ke kebun getah. Tapi bila musim padi ayah dan ibu ke sawah menanam padi pula. Di Kuala Krai tiada sawah padi, cuma ada kebun getah, kebun buah buahan, hutan, bukit bukau dan Sungai Kelantan.

Aku pernah ke sawah di kampung ibu, pernah bermain-main dengan kawan-kawan di tengah bendang menangkap belalang, bermain layang-layang dan berkejar-kejaran. Waktu balik dari bendang singgah di sungai menangkap ikan dan mandi manda, atau singgah di perigi mandi airnya yang jernih dan sejuk. Di sana aku mula kenal dengan permainan 'dekcok' atau tenteng, 'bidas para', 'pekong tin', batu seremban atau 'selambut', galah panjang dan 'police entery'. Aku mula tahu membuat kerta dengan tin kosong dan tolak rim basikal.

Aku pernah ke sana ketika musim menanam dan menuai padi. Ibu dan ayah sering membawaku. Aku juga pernah membantu ayah dan ibu membanting padi, alangkah teruknya orang tuaku terpaksa bekerja di tengah panas, miang dari sekam padi, terpaksa menbanting tulang demi mendapatkan rezeki.

Ayah ku tegas orangnya, walaupun cuma bersekolah pondok, tapi baginya pelajaran dan akedemik adalah amat penting. Ibu baik dan bertanggung jawab orangnya, mengaji Quran amat dititik beratkan, tapi aku paling malas mengaji Quran waktu itu. Bagaimanapun orang tuaku sanggup berhabisan jika berkaitan dengan pelajaran. 'Bekalan untuk masa depan' katanya. Aku begitu bangga dengan mereka. Dalam serba kekurangan mereka mampu membesarkan kami 7 beradik. Malah ayah mampu membuka tanah hutan dijadikan kebun getah untuk menyara anak-anak bersekolah. Aku yang hidup di zaman moden ini sebidang tanah pun tak mampu untuk dikerjakan, apatah lagi berekar-ekar tanah.

Sungai, alur, bukit dan hutan adalah duniaku, aku sering meredah belukar dan semak untuk melastik dan menahan burung dan menangkap ikan sekila di alur. Bila musim buah tiba, kami selalunya dapat menikmati buah-buahan seperti durian, duku, ciku, langsat, manggis dan rambutan kerana ayahku memiliki kebun di belakang rumah. Aktiviti mengutip buah dan memanjat pokok menjadi tugasan penting masa itu.

BANJIR DI KUALA KRAI


Pada cuti sekolah hujung tahun 2008 dulu aku berkesempatan berada di kg. Masa tu musim tengkujuh mula melanda negeri-negeri pantai timur. Hujan lebat selama dua hari berturut-turut telah menyebabkan air Sungai Kelantan naik secara mendadak dan menenggelamkan beberapa tempat termasuk jalan utama sekitar Kuala Krai. Selain daripada itu, perkhidmatan keretapi juga nyaris terbantut berikutan air yang naik hampir menenggelamkan laluan keretapi di Kuala Krai.

Warga Kelantan yang pulang melalui Gua Musang pada hari berkenaan terpaksa menghentikan perjalanan mereka di Kuala Krai. Kebanyakan mereka adalah berasal dari daerah lain seperti Kota Bharu, Pasir Mas, Jeli dan kawasan lain yang perlu melalui Kuala Krai untuk ke destinasi mereka.

Semua hotel dan rumah tumpangan pada hari tersebut penuh, semuanya sudah di tempah. Aku juga antara yang terpaksa mencari rumah tumpangan untuk sedara aku dan kawan-kawannya dari Kuala Lumpur untuk ke Kota Bharu. Berikutan itu terdapat banyak kereta, lori dan bas yang tersadai di simpang Guchil. Antara tempat yang terjejas teruk ialah Kg Sg Durian, Kg Kenor, Kg Tualang, kg Bedal dan kawasan-kawasan rendah yang lain. Best juga dah lama tak tengok suasana seperti ini, seingat aku kali terakhir aku dapat merasai pengalaman banjir di kampung pada tahun 1988, masa tu aku tengah ambik STPM.