Ahad, 29 Mac 2009

KEHADIRAN KE DAERAH INI


1hb Nov. 2007. Tarikh itu menjadi keramat bagi aku kerana inilah titik permulaan yang Allah kurniakan sebagai aku memulakan kehidupan baru. Setelah hampir 10 tahun aku bersama keluarga terpaksa mengharungi zaman kegelapan. Susah jerih sebelum ini yang terpaksa diredahi menjadi dugaan yang maha hebat untuk aku telan. Namun ibarat pepatah “kemarau setahun hilang dek hujan sehari” Alhamdulillah.

2hb Nov. 2007 setelah selesai sesi introduksi di SMKAP Muadzam Shah yang pertama kali aku jejaki. Waktu hampir pukul 12 tengah hari.. kemudian aku memacu terus ke destinasi. Ketika aku sampai di jajahan ini, langit sedang tersedu sedan, belum mahu reda dari tadi. Entah apa yang ditangiskan aku tidak tahu. Aku telah terpisah dari kawan-kawan. Masing-masing ke destinasi mereka sendiri. Tidak sempat untuk bersolat Jumaat kerana tempat ini masih terlalu asing bagiku.

Malah waktu malamnya, ketika pertama kali lena di sini mungkin masih ada lagi tangisan alam itu. Aku tidak tahu apa maknanya cuaca begini. Sepanjang perjalanan dengan Iswara sedan yang dipandu dari Kuala Krai ke Kuantan dan seterusnya ke sini. Aku tidak tahu apakah alam sedang menangis sedih atau sebenarnya gembira terharu. Air mata walau dari alam sekalipun tetap abstrak sifatnya.

Di iringi dengan lagu ‘mengejar Impian’ dari kumpulan kristal yang bermain di corong radio aku meneruskan perjalanan itu. Keluarga aku tinggalkan sekali lagi, namun kali ini cuma sementara sahaja. Aku bertekad akan membawa mereka bersama secapat yang boleh. Apakah ini kerana alam menangisi atau mengalu alukan aku untuk menjadi sebahagian dari warga jajahan ini, atau boleh jadi juga cuaca ini hanya intro bagi pekan kecil ini memperkenalkan namanya – Kuala Rompin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan