Sabtu, 2 Mei 2009

PUBLIC SPEAKING



Bila bercakap tentang pengucapan awam @ public speaking memang aku akan elakkan, memang aku lemah sikit kalau nak bercakap depan-depan orang ramai, kalau dapat bercakap pun aku sendiri tak tau kat mana aku berdiri macam melayang-layang. Kalau di perhimpunan memang aku tidak mahu bercakap di depan, kalau boleh elak aku akan elakkan bagilah pada mereka yang suka bercakap. Tapi sebagai guru nak tak nak memang kena bercakap.

Teringat semasa di Permai Inn, aku salah seorang yang terpaksa membuat pengucapan awam. Tercungap-cungap juga bercakap dan terpaksa menggunakan teks kalau tidak takut ’blank’. Waktu tu betul2 kena ada self confident dan aku akui aku belum cukup self confident dalam diri bila bercakap di kalayak ramai.

Orang2 yang berjaya kebanyakkan mempunyai Public Speaking yang bagus dan tak kira la siapa dia, businesman, penyanyi, guru, ahli politik dan Ahli sukan semuanya mempunyai teknik public speaking yang tersendiri bagi menarik perhatian orang lain bila berdepan di depan orang ramai dan tak mustahil kita tak boleh lakukan seperti diorang buatkan.

Yela kalau nak berjaya kita kena jugak kuasai ilmu dalam Public speaking untuk memperkembangan apa bidang yang kita buat. Untuk menyakinkan orang nie bukan satu benda yang senang. Kalau kita tak boleh menyakinkan 1 orang macam mana kita nak menyakinkan ramai orang.

Sebenarnya aku ni jenis lebih suka buat dari bercakap.. bukan takde idea tapi bila ada idea aku buat catatan @ buat pengeraman & aku buat ape yang difikirkan tadi, itu mungkin teknik2 orang seni, tapi semua orang ada cara masing-masing terpulanglah. Tapi aku sedar, kelemahan aku kurang idea2 spontan.. kena relaks dulu baru datang idea sebab tulah bila kena public speaking bercakappun tak lama.. sekejap cukup, sebenarnya takde idea lagi.

Walaupun kita bukan orang politik yang petah bercakap aku percaya kita boleh lakukan yang terbaik untuk diri sendiri. Orang tak ada pendidikan tinggi juga mampu berdiri lebih tinggi jika ade usaha untuk mengubah keadaan.

Kepada rakan2 yang sudi membantu kiranya dapatlah memberi tips2 @ sudi menunjuk ajar aku supaya dapat memantapkan dan lebih mahir dalam public speaking.

Jumaat, 1 Mei 2009

SELAMAT HARI PEKERJA


Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Takde bende yang nak ditulis hari ni.. hari ini merupakan ‘Hari Pekerja’. Sudah pasti ramai yang cuti..Kepada semua rakyat yang bercuti ‘ Selamat Bercuti’.. Manakala yang bekerja, tahniah dapat ‘Overtime ‘ tak dapat overtime jangan sedih kerana anda masih mempunyai kerja.. Yang bekerja sendiri, teruskan usaha anda mencari duit ..Suri rumahtangga selamat menjalankan kerja yang mulia… Yang takde keje , er.. pandai-pandailah cari kerja ye… @ ciptalah kerja.


Cerita pasal kerja ni.. Pengalaman aku selepas SPM tahun 1986, aku pernah bekerja di kilang tembakau selama beberapa bulan di pasir Mas, Kelantan. Gaji rm10 sehari dari pukul 7pg hingga 7ptg, kerja 6 hari seminggu.. sebulan dapatlah rm260.

Selepas STPM, pernah buka gerai meniaga burger dan menjual air di Kuala Krai.. selepas tu bekerja sebagai buruh kasar punggah batu, beberapa bulan. Tak tahan penat dan masalah tokey lambat bayar gaji, aku berenti. Tengok kawan2 sekampung dah ramai dapat kerja, akhirnya aku bertekad untuk ke KL. Di KL aku bekerja di kedai iklan di Kampung Baru. Gaji rm10 sehari. Sambil bekerja di sebelah malam aku masuk kelas Grafik di kolej swasta. Pada hari minggu aku selalu bantu kawan berniaga kraftangan & buat lukisan di Pasar seni.

Selepas beberapa bulan bekerja di kedai iklan aku tukar kerja sebagai pelukis di Kampung Pandan dapat gaji rm300 sebulan. Sepanjang berada di KL aku pernah bekerja sbg pekerja am di pasaraya, pernah bekerja di petrol pam, pernah bekerja waitres di hotel, pernah bekerja sebagai pemandu teksi. Pernah bekerja di Pizza Hut dan di kilang Avon. sebelah petang aku sempat jg membantu kawan berniaga kelapa dan menjual ikan di Pasar Keramat semuanya terpaksa dilakukan kerana tuntuhan hidup di kota.

Pertengahan tahun 1989 aku mendapat tawaran kerja sementara di Amanah Saham Nasional. Aku rasakan ASNB sebuah badan yang besar, aku memilih bekerja di sana kerana lebih terjamin. Kerana sudah merasa berbagai kerja yang agak kasar dan lasak, ingin pula aku cuba bekerja dalam pejabat ber'air-cond' dengan berpakaian yang kemas dan cantik. Pada 1hb Sept. 1991 aku telah di lantik ke jawatan tetap. Dalam pada tu la aku bawa teksi pada sebelah malamnya maklumlah nak cari duit lebih.

Menjelang akhir tahun 90-an kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakan aku terpaksa berhenti kerja di ASNB, dan pulang ke Kelantan. Sekembali ke kampung aku bekerja sendiri. Dan kerja yang paling memenatkan, mencabar kesabaran dan menyiksakan adalah semasa membuat kerja Catering. kerana kegawatan ekonomi pada masa tersebut kontrak untuk catering dikurangkan. Dari Kg aku terpaksa ke KB mencari kerja dan aku bekerja di kilang batik beberapa bulan. Terpaksa berulang dari K.krai ke KB. dengan jumlah gaji yang tak seberapa tidak praktikal untuk aku berulang alik & akhirnya aku bekerja di Restoren, kemudian bekerja di kedai komputer sebagai pekerja am dan tutor dan pernah menjadi buruh binaan bahagian angkut batu bata dan bancuh simen.. amat memenatkan, kena pula kerja dalam bulan puasa. Aku juga pernah berniaga sendiri tapi malangnya semuanya tidak kekal..

Dalam kesempitan, dalam mencari ruang2 berniaga dan peluang2 pekerjaan.. pada tahun 2003 aku mendapat peluang menyambung belajar di UPSI dan peluang tersebut tidak aku lepaskan kerana bagiku itulah satu2nya peluang untuk aku mengubah hidup.. dan syukur hari ini walaupun perjalanan aku agak jauh,aku sampai jua di sini.. dan ape yang aku perolehi hari ini merupakan sesuatu yang "terlalu berharga", kerana setiap perjalanan itu bukanlah semata-mata kerana destinasinya tapi ape yang lebih penting adalah ape yang dikutip sepanjang perjalanan

Dari pengalaman ini, sememangnya telah banyak kerja yang terpaksa aku lakukan tapi ini bukan bermakna aku jenis suka melompat kerja.. tapi kerana keadaan & masa.
Akhir kata ”Selamat Hari Pekerja” untuk semua warga pekerja, bekerjalah dengan ikhlas semuga dilimpahi dengan rezeki yang lebih.. bagi anak2, pelajar dan yang masih mencari kerja semuga menjadi panduan agar sabar menghadapi cabaran, bukan senang untuk senang dan yang telah bekerja bersyukurlah, janganlah sombong, renung2lah ke bawah.. semoga semua lebih produktif, kreatif, innovatif dalam melakukan tugasan.

BILIK, DEWAN & CAFE

Permai Inn Kuala Terengganu, selama 2 minggu aku di sana dari 16 April hingga 30 April.. ape yang pasti rutin harian adalah dewan.. cafe.. dan bilik..





..Namun akhirnya alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Hari terakhir di sana masing-masing termasuk aku jg, tidak menoleh kebelakang lagi maklumlah dah 2 minggu.. terus meninggalkan Permai Inn dengan seribu kenangan.

Rabu, 15 April 2009

MAJULAH BOLA UNTUK NEGARA




Artikel ini adalah respon dari penulisan Cikgu Lan & Sir Sazili.

Cerita tentang bola sepak ni.. Saya dulu memang kaki bola, zaman saya bermain bola adalah dari tahun 1981 hingga 2000. zaman kegemilangan saya adalah antara tahun2 1984 hingga 1990, tak lama lepas tu saya masih main lagi tapi prestasinya turun naik saja dan kali terakhir saya main bola adalah pada tahun 2000, masa tu saya bermain dengan Kraftangan Malaysia lawan dengan pasukan Negeri Sembilan bawah 21 (perlawanan persahabatan). Lepas pada tu saya mengalami kecederaan lutut yg serius semasa sesi latihan di kraftangan dan sekali gus menamatkan episod bola saya.


Pada awal pembabitan saya mula kenal dengan Mokhtar Dahari, 'Pele', kemudian saya mula meminati Maradona, Backheam dan pemain bola yang paling saya minat adalah Ronaldo(9), dan Kini saya masih belum jumpa pemain yang menarik minat saya kalau adapun sekadar biasa saja bukan mereka tak bagus spt Kaka, C. Ronaldo, Tores, Drogba, Robinho dan ramai lagi tapi belum ada yang special @ x faktor yang menarik minat saya.


Setelah datang ke Rompin saya telah didedahkan semula dgn bola sepak, maklumlah kawan2 sibuk ajak main bola.. walaupun sudah hampir 8 tahun tidak menyentuh bola namun kerana semangat masih membara saya pun cubalah kembali ke lapangan.. sayangnya walaupun lutut saya tidak lagi terasa sakitnya, ..saya mula sedar saya tak boleh lagi bermain bola. Saya malu sendiri, malu juga kepada kawan2 dan budak2. Tapi dalam bola sepak itu perkara biasa faktor usia memang menjadi penghalang. Zaman saya dah berlalu. biarlah saya simpan saja kasut bola saya buat kenangan.


Saya memang lahir pada zaman Mokhtar Dahari & saya memang pernah menyaksikan perlawanan2 yg melibatkan Malaysia menentang Korea, Jepun, Thailand, Singapura dan sebagainya.. memang membanggakan.. apakah mutu bola sepak kita semakin teruk @ mutu kita ok, tapi mutu orang lagi ok maknanya makin meningkat dgn kadar yg lebih berkali ganda dari kita. Negara kita bukan kita x ada pembangunan bola, tapi saya rasa ada beberapa faktor yang boleh di ubah

1) Faktor pemakanan - selagi kita duk makan nasi selagi itulah kita lembik main bola. Bukan x boleh makan nasi tapi maksudnya di sini siapa yg berbakat utk main bola kena jaga pemakanan dari peringkat kanak2 lagi lebihkan makanan2 yang memberi tenaga, membentuk kecergasan iaitu makanan di aras 2 dan aras 3 dalam piramid makanan iaitu Ikan, ayam, daging dan kekacang, Susu serta produk tenusu buah-buahan dan sayur-sayuran.

2) Pengurusan - selagi orang2 politik & kerabat2 yg pegang teraju kepimpinan selagi itulah mutu bola kita x meningkat. Bola sepak negara kita perlukan mereka yang benar-benar boleh mengurus dan mempunyai kebolehan menjadikan bola sebagai satu business.. dan badan pengurusan bola sepak mestilah lebih terbuka menerima teguran dan pandangan bukan hanya sekadar tahu memberi alasan dan menghukum sahaja.

3) Kejurulatihan - selagi kita tidak berani berubah arah mengunakan jurulatih yang bagus2 dari negara Latin selagi itu kita tidak boleh berubah. Selama ini dah bepuluh-puluh tahun kita lebih kpd teknik kejurulatihan Eropah yg sememangnya kurang sesuai dengan bangsa kita yang bersaiz lebih kecil dan lembik nih. Kerana Eropah mengamalkan ’total football’ iaitu pemainan yang pantas, ’counter attack’ dan teknik hantaran2 jauh.. so kita lebihkan lah kepada pemainan Latin yang lebih tektikal, teknik hantaran2 pendek, bermain dgn cara mudah spt spt Brazil, Mexico atau Argentina ambik jurulatih dari sana, ceduk seberapa banyak ilmu dari mereka. Dasar pandang ke Latin pulak. Nak hantar pemain2 buat latihan pun pilih negara2 Latin, lupakan dulu eropah seketika. Dah hebat nanti baru kita masuk ke Eropah. Tengok saja dah berapa ramai pemain-pemain muda kita yg berbakat dan diramal hebat dan telah dihantar belatih ke Eropah tapi akhirnya apa yang terjadi, pulang ke Malaysia sama saja.. seorangpun x mampu membantu membawa negara ke tahap yang lebih baik. Salah seorang dulu saya masih ingat seorang kanak2 bangsa India kalau tak silap nama Titus ke ape.. bakatnya pernah dicungkil sejak umur 10 tahun lagi, memang hebat dan berbakat, pernah keluar tv dan telah di hantar berlatih ke Perancis sejak kecil lagi. Saya rasa sekarang ni dia dah cukup dewasa untuk mewakili negara tapi kemana perginya..

4) Moral, motivasi, semangat dan petriotisme – penerapan nilai2 sebegini amat perlu dgn menggunakan pakar2 motivasi yang berwibawa. Kelas2 motivasi dijadikan sebagai dari kelas wajib bagi para pemain. supaya pemain kita kuat mentalnya, tidak mudah luntur semangat juangnya dan mampu mengawal emosi dalam ape keadaan sekalipun.


Bukan kita ketandusan pemain, bukan kita kekurangan kemudahan, bukan kita kekurangan latihan, bukan kita tidak ada pembangunan kerujulatihan, bukan kita tidak ada pembangunan dalam arena bola sepak, bukan kita tidak ada program mencari bakat2 baru, bukan tak ada semua nya.. ada! Tapi mengapa kita setiap tahun semakin meronsot ke ranking bawah FIFA. Saya masih ingat bagaimana kita telah kalah pada Vietnam dalam pertandingan piala ape saya dah lupa pada pertengahan tahun 1990-an (1996 @ 1997) kalau tak silap saya. Vietman sebuah negara yang baru membangun masa tu keluar dalam majalah3 cerita tentang negara Vietnam selepas 2 tahun penghantar pulang beramai-ramai pelariannya ke negara asal. Mereka tunjukkan studiumnya dan padang bolanya pada masa itu memang daif, kalau nak dibandingkan dengan padang sekolah SMK Seri Rompinpun jauh bezanya. Rakyat mereka pun baru 2 tahun mula bermain bola setelah negara mereka bebas dari peperangan, Masa tu Malaysia sudah ada Stadium Bukit Jalil sudah ada sekolah sukan sebagainya tapi macam mana Malaysia boleh kalah kepada Vietnam? Mana slogan ’Majulah sukan untuk Negara’!

Ahad, 12 April 2009

TANGGA, JAMBATAN & BECA




Ada beberapa benda yang agak unik dan menarik di tempat aku antaranya iaitu Tangga Bradley, Jambatan Gantung Sungai Nal, Taman burung dan Beca roda tiga.

Tangga Bradley (kini dikenali sebagai Tangga Krai) merupakan struktur yang dibina untuk menyukat paras air di dalam Sungai Kelantan. Tangga Bradley yang terletak di Kuala Krai ini mempunyai 79 anak tangga dan memiliki ketinggian kira-kira 31 meter dari tebing sungai.

Tangga Bradley ini dipercayai telah dibina pada tahun 1927 hingga 1929. Nama Bradley diambil sempena nama Ketua Pentadbiran Jajahan Kuala Krai pada masa itu, iaitu Mr. Gerald Bradley (1927 - 1955). Kegunaan utama Tangga Bradley adalah sebagai jeti perhubungan bagi penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Dabong, Sungai Galas dan Sungai Lebir untuk menjual barangan hasil pertanian ke pasar Kuala Krai. Selain itu, ia juga digunakan sebagai tempat kawalan / bacaan aras Sungai Kelantan semasa musim tengkujuh




JAMBATAN GANTUNG SULTAN ISMAIL SUNGAI NAL…
Jambatan ini juga dikenali sebagai Gertak Gantung Sungai Nal. Ia merupakan satu-satunya jambatan gantung di Negeri Kelantan. Jambatan ini amat penting bagi menghubungkan Kota Bharu dengan Kuala Krai melalui jalan raya pada masa dulu. Ia dibuka pada 19 April 1932 oleh KDYMM Sultan Ismail Ibni Sultan Muhamad IV. Reka bentuknya menyerupai kebanyakan jambatan yang terdapat di Eropah. Struktur binaannya menggunakan besi keluli begitu teguh dan kuat. Panjangnya 70 kaki dan lebar 30 kaki. Tali besi yang menggantungkan jambatan ini berukuran 12 inci lilitan dan dipintal pada bahagian luar dengan dawai besi lebih kecil menampakkan seperti tali berpintal. Mulai tahun 1986, jambatan ini tidak lagi digunakan kerana jambatan baru berhampiran telah siap dibina. Ianya dikekalkan sebagai warisan sejarah.




BECA RODA TIGA @ TEKSI..

Semasa balik kampung pada cuti pertengahan penggal, sempat juga aku merayau2 di Bandar Kuala Krai… saja jalan2 sambil ambil kesempatan singgah di gerai makan menikmati makanan tempatan.

Dalam pada itu juga telihat olehku satu kenderaan yang sememangnya dianggap kian pupus iaitu beca roda tiga atau kalau tempat aku panggil teksi. Rasanya tidak banyak tempat di Malaysia kini yang masih mempunyai kenderaan ini antaranya yang terkenal terdapat seperti di Melaka, P.Penang dan Kota Bharu. Malah di Rompin sepanjang aku di sana rasa tak pernah jumpa pun.

Teringat aku masa kecil dan sekolah dulu, kerap juga aku dapat khidmat beca nih, selalunya bila dah terasa penat sangat jalan kaki ataupun terpaksa membawa banyak barang. Generasi kini munkin tidak mengetahuinya malah anak2 aku tak pernah merasai betapa seronoknya menaiki beca.

Begitupun sekarang sudah berkurangan beca ni di bandar2. Kerana khidmat pengangkutan yang lebih selesa sudah mengatasinya. Cuma sesekali saja kelihatan rombongan pelancung asing mengguna khidmat beca nih.


Antara ’port’ yang selalu penarik2 beca ini ‘parking’ adalah depan pasar Kuala Krai. Aku masih ingat seorang penarik tua yang selalu tidur atas becanya tidak kelihatan kali ini… Antara lain aku lihat orang lain sempat rehat tidur terlentang di atas becanya, kerana tiada perkhidmatan diperlukan. Dalam hati aku mungkin orang tua tersebut sudah tiada lagi kerana dia sudah tua dan da'if. Kadang2 aku sempat juga aku mengajaknya minum bila dia menyapa aku tika aku melintasinya disitu.


Rabu, 8 April 2009

MENGHAYATI KARYA ABSTRAK


Bagaimana menghayati sesuatu karya yang berbentuk ekspresi dan abstrak. Bila kita melihat sesuatu karya ada antara kita memperkatakan tentang definisi atau pengertian karya tersebut malah ada juga yang tidak dapat mengatakan sesuatu kecuali tidak lebih dari mengatakan cantik atau tidak cantik sahaja.

Tajuk ini sengaja di sentuh kerana saya acap kali ditanya oleh kawan kawan dan pelajar dengan berbagai soalan yang berkaitan dalam menilai sesuatu karya terutama karya2 berbentuk abstrak. Antara soalannya seperti ”apa cantiknya lukisan itu”, ”Macam mana orang menilai karya itu”, ”macam mana lukisan macam ni boleh mahal” dan sebagainya.

Abstrak sering ditujukan kepada karya2 yang sukar ditafsirkan, dengan imej2 yang hebat yang sukar difahami, sapuan2 warna yang pelbagai dan kesan berus yang sepontan, yang lazimnya sering dihubungkan dengan nilai2 ekspresi pelukis.

Pada dasarnya kesemua karya seni lukis atau catan dikaitkan dengan aliran2 yang wujud dalam seni, Dan karya abstrak sebenarnya sering diarahkan pada aliran seni di eropah spt post impresionis, ekspresionis atau abstrak ekspresionis yang menentang kepada peniruan kepada alam secara total.

Apa yang penting dalam menghayati sesebuah karya seni abstrak kita sekurang kurangnya sedar wujudnya dua perkara terbesar di dalamnya iaitu aspek ’formalistik dan ikonografi’ ataupun ’bentuk dan isi’.

Aspek formalistik merangkumi elemen asas unsur seni dan prinsip dalam rekaan iaitu seperti warna, bentuk, rupa, garisan, ruang, keseimbangan, kepelbagaian, kontra, harmoni, pergerakan, komposisi, sapuan berus dan sebagainya berkaitan. Manakala aspek2 ikonografi atau maknanya pula iaitu dari segi sosiologi, psikologi, estetika, sejarah, perasaan, kepercayaan.

Penggunaan elemen2 warna yang dihasilkan, perspektif dan ruang, garisan lembut dan kasar, tebal dan halus yang membentuk pergerakan tertentu kesemuanya perlu di analisis dan diamati kerana elemen inilah yang akan mengupas makna yang tertentu dalam sesebuah karya. Lantaran itu pemahaman terhadap aspek aspek formal amat perlu dalam usaha kita mengenal atau menghasilkan karya karya seni.


Namun begitu kita perlu menyedari kelahiran sesebuah karya adalah dari celah2 kehidupan masyarakat. karya juga mempunyai nilai yg dapat dibaca dari struktur dalaman yg bersangkutan dengan organisasi dan motif2 yg berbeza. kita perlu menyedari tentang tujuan pelukis yg sememangnya bertujuan memaklumi, menyakinkan dan mempengaruhi manusia.


kesemuanya memerlukan kesungguhan, ketelitian dan teratur biarpun sekecil mana, kerana apa yang rakamkan pada kanvas itu sememangnya bukan saja2. Pengalaman2 sampingan menerusi pembacaan juga boleh membantu. Bila keperluan2 itu kita penuhi sedikit demi sedikit akan wujudlah suatu penghayatan seni yang segar.

Selasa, 7 April 2009

TUGAS & MASA







Begitu lama juga rasanya saya tidak dapat menulis dan menyiarkan artikel. Sejak lepas buka cuti sekolah tempoh hari saya terus dihimpit dengan kesibukan yang amat, hinggakan setiap hari sabtu pun ada sahaja urusan kerja yang perlu dilakukan seperti mesyuarat, kursus, analisis peperiksaan dan sukan serta berbagai tugasan lain. Masa di sekolah dan seharian dilalui terasa begitu sekejap saja namun tugas2 masih ada yang yg belum selesai.

Sehinggalah hari ini barulah terasa lega sedikit. Kalau ikutkan jadual bulanan sepanjang bulan ini saya akan terus dalam kesibukan kerana sabtu depan ada pula kursus latihan dalam perkhidmatan dan sabtu depan seterusnya saya terpaksa menggikuti kusrus induksi pula hinggalah 30hb nanti.
Bukan mengeluh kerana bebanan kerja tapi sekadar berkongsi pengalaman. Begitulah tugas, tanggungjawab dan masa, perkara2 begini sememangnya mencabar kesabaran dan keupayaan dalam menguruskan masa. Kata cikgu Sazili ”apabila banyak urusan yang perlu kita selesaikan, kita sebenarnya sentiasa diasak oleh masa. Seringkali kita menjadi gopoh kerana terlalu berkejar ke sana berkejar ke sini”.

Hari ini saya nak relak sikit, cuba lari dari kesibukan seketika, walaupun sebenarnya petang ni ada mesyuarat posmortem UPT1.