Seni kartun merupakan bentuk karya seni rupa yang dapat mempengaruhi Pemikiran publik, baik secara langsung mahupun tidak. Seni Kartun juga dapat membuat penontonnya tersenyum geli ataupun sebaliknya tersinggung kerana merasa disindir atau tersindir. Pujian dan cacian, itulah dua hal yang sekaligus dapat diciptakan oleh seorang kartunis dengan kepiawaian idea dan gambarnya melalui kartun.
Antara pelukis kartun yang saya kagumi adalah Lat (Dato'Lat) atau nama sebenarnya Mohd nor Khalid. Saya dibesarkan dgn lukisan lukisan kartunnya.. Saya mengikuti perkembangan kartun Lat sejak di bangku sekolah rendah lagi pada akhir tahun 1970-an. Masih ingat lagi saya terpaksa pinjam komik komik tersebut dari kawan kerana tak mampu nak membelinya. Menjelang awal 1980-an, buku koleksi kartun “The Kampung Boy” (1979) dan “Town Boy” (1980) saya jadikan contoh dan aspirasi untuk saya mengasah bakat melukis.
Seperti kebanyakan peminat Lat, saya mengikuti kartun Lat kerana banyak sebab yang bersifat peribadi dan latar belakang kehidupan yang berasal dari kesegaran kampung yang begitu dekat dengan kita. Begitu juga setiap kali membuka akhbar New Straits Times (NST), saya akan membuka halaman editorial dan menelaah kartun Lat terlebih dahulu. Pada hemat saya, kartun Lat mengambarkan isu terkini yang perlu diberi perhatian. Yang pasti, Lat begitu peka terhadap perkembangan semasa. Kartunnya memperihalkan isu semasa dari pelbagai sudut secara sinis dan seringkali menyengat.
Lat juga mempunyai kelebihan mengambarkan pemimpin dan tokoh negara secara bersahaja, seperti Karikatur Datuk seri Dr Mahathir dgn cermin mata & identiti hidungnya, Datuk Seri Abdullah Badawi ditonjolkan dengan hidung ala Arab, sementara identiti Datuk Seri Najib Razak pula pada mulutnya..
Justeru mengamati kartun Lat bukan sahaja membuatkan kita tersenyum malah membuka minda untuk menilai persekitaran dan sesuatu peristiwa dari dimensi kemanusiaan. Kita juga diajak untuk berfikir dengan kritis dan tidak hanya pasrah peristiwa yang berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan