Ahad, 29 Mac 2009

KEHADIRAN KE DAERAH INI


1hb Nov. 2007. Tarikh itu menjadi keramat bagi aku kerana inilah titik permulaan yang Allah kurniakan sebagai aku memulakan kehidupan baru. Setelah hampir 10 tahun aku bersama keluarga terpaksa mengharungi zaman kegelapan. Susah jerih sebelum ini yang terpaksa diredahi menjadi dugaan yang maha hebat untuk aku telan. Namun ibarat pepatah “kemarau setahun hilang dek hujan sehari” Alhamdulillah.

2hb Nov. 2007 setelah selesai sesi introduksi di SMKAP Muadzam Shah yang pertama kali aku jejaki. Waktu hampir pukul 12 tengah hari.. kemudian aku memacu terus ke destinasi. Ketika aku sampai di jajahan ini, langit sedang tersedu sedan, belum mahu reda dari tadi. Entah apa yang ditangiskan aku tidak tahu. Aku telah terpisah dari kawan-kawan. Masing-masing ke destinasi mereka sendiri. Tidak sempat untuk bersolat Jumaat kerana tempat ini masih terlalu asing bagiku.

Malah waktu malamnya, ketika pertama kali lena di sini mungkin masih ada lagi tangisan alam itu. Aku tidak tahu apa maknanya cuaca begini. Sepanjang perjalanan dengan Iswara sedan yang dipandu dari Kuala Krai ke Kuantan dan seterusnya ke sini. Aku tidak tahu apakah alam sedang menangis sedih atau sebenarnya gembira terharu. Air mata walau dari alam sekalipun tetap abstrak sifatnya.

Di iringi dengan lagu ‘mengejar Impian’ dari kumpulan kristal yang bermain di corong radio aku meneruskan perjalanan itu. Keluarga aku tinggalkan sekali lagi, namun kali ini cuma sementara sahaja. Aku bertekad akan membawa mereka bersama secapat yang boleh. Apakah ini kerana alam menangisi atau mengalu alukan aku untuk menjadi sebahagian dari warga jajahan ini, atau boleh jadi juga cuaca ini hanya intro bagi pekan kecil ini memperkenalkan namanya – Kuala Rompin.

Rabu, 18 Mac 2009

BASIKAL UNTA





Catatan Zaman kanak-kanak 3

Terlalu banyak kisah untuk diceritakan waktu zaman kanak2 aku. Salah satu yang terlintas di fikiranku tentang aku belajar naik basikal. kerana berbasikal adalah begitu dekat dengan kehidupanku (zaman kanak2). Masa tu aku kenal basikal dan belajar naik basikal dengan “basikal unta” ayah.

Basikal tersebut sememangnya besar. Kalau bahasa kelate’ di sebut “ssika uto” @ “basikal unta” @ juga dipanggil “basikal jantan” sebab mempunyai palang atas & sesuai untuk lelaki sahaja, kalau ‘basikal betina’ tiada palang atas . Basikal tersebut dari jenama “Raleigh”(satu jenama yg terkenal masa tersebut) mengikut ceritanya basikal tersebut telah dihadiahkan oleh seorang guru berbangsa Inggeris kepada ayah kerana beliau tinggal berjiran dengan kami. Pada awal tahun 70-an ‘Mat Salleh’ tersebut telah pulang ke Eropah setelah tamat perkhidmatan di Malaysia. Oleh kerana telah akrab dengan keluarga kami beliau telah menghadiahkan sebuah basikal sebagai penghargaan dan kenangan. Masa tu kat kampung aku tak ramai orang yang mempunyai basikal dan basikal ayah merupakan satu2nya basikal Raleigh. Sejak itu senanglah ayah untuk kesana sini.


Banyak kali aku terjatuh semasa belajar mengayuh dan tak kurang juga terbabas @ hilang kawalan kerana maklum saja basikal tersebut besar dan susah untuk di kawal. Untuk mengayuh basikal tersebut aku terpaksa membuat aksi akrobatik, badan mesti dibengkokkan terslit masuk di antara palang atas. Satu tangan memegang handlle dan satu tangan terpaksa memegang palang basikal.


Setelah aku pandai berbasikal, makin luaslah langka ku. Habis ceruk kampung aku masuk, kehulu kehilir berbasikal berbaris di jalan. Pantang dengar je mak merungut barang dapur habis aku cepat2 volunteer untuk pergi membelinya di kedai, sebab boleh kayuh basikal.


Setelah bersekolah kawan-kawan ramai yang memiliki basikal. Masa tersebut amat terkenal dengan panggilan basikal mini. Sebab saiz basikalnya kecil berbanding dengan basikal Raleigh. Aku begitu teringin memiliki basikal tersebut, kalau tak dapat pun boleh kayuh pun jadilah.
Oleh kerana terlalu teringin mencuba basikal mini pada suatu malam semasa pulang dari masjid bersama seorang kawan menaiki basikal. Aku pun dah lupa basikal siapa yang aku pinjam. Masa tu aku sebagai pemboncing. Kawan aku sebenarnya masih kurang mahir berbasikal namum kerana ghairah kami sama2 melenjan basikal tersebut. Ketika menuruni bukit, kawanku telah hilang kawalan, basikal kami terhuyung hayang dan akhirnya kami terpelanting ke atas jalan.
Aku tidak mengalami kecederaan teruk, cuma tercalar pada bahagian tangan dan lutut sahaja dengan kain pelikat sedikit terkoyak. Tapi yang malang adalah kawanku tangannya cedera teruk di bahagian siku, terpaksa dibawa ke hospital pada malam tersebut juga dan mendapat beberapa jahitan.

Kini basikal Raleigh ayah tiada lagi, tak sempat diselamatkan kerana ditenggelami banjir beberapa kali. Namun kenangan berbasikal masih kekal dalam ingatan. Banyak kenangan bersama basikal tersebut. Setiap kali bersama kawan2 kadang2 kami berlumba, akulah yang menang sebab basikal aku laju mengalahkan basikal racing. Biarlah orang lain bangga dengan basikal baru mereka namun aku tetap berbangga dengan basikal unta ayahku.

Ahad, 15 Mac 2009

BELAJAR ERTI KESUSAHAN


Dah lama rasanya tak blogging. Semalam (Sabtu 14hb) saya cukup terharu apabila membaca berita pelajar terbaik SPM 2008 diumumkan. Bagaimana perjuangan pelajar Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, datangnya bukan dari keluarga yang senang malah merupakan anak seorang nelayan. Saya berharap berita ini sepatutnya perlu dibaca oleh semua pelajar agar dapat memberi keinsafan dan meransang semangat..

Kebetulah pelajar tersebut dari negeri asal saya dan kebetulan dari keluarga yang susah jadi sedikit sebanyak saya faham dengan kesusahan yang dilalui beliau. Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 20A. Terfikirkah kita bagaimana pelajar ini boleh mencipta satu kejayaan yang begitu hebat dalam kehidupan tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna. Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga.

Kehidupan tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna sebenarnya bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong untuk lebih berusaha dan mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Pengajaran kepada kita di sini walau dalam keadaan apa sekalipun tiada alasan bagi kita untuk melalukan yang terbaik. Gunalah apa saja yang seadanya disekeliling kita semanafaat yang boleh.

Saya teringat kepada pelajar2 sekarang rata2 datangnya dari keluarga senang dan ada segelintir sahaja dari keluarga yang susah. Apa yang menjadi terkilan mereka ini kebanyakan boleh dikatakan manja dalam erti kata lain tiada daya tahan, tak boleh susah sikit. Saya berkata begitu kenapa.. sebagai contoh setiap kali saya memberi arahan kepada pelajar untuk mencari maklumat atau menyiapkan tugasan maka setiap kali itulah akan keluar ayat2 spt ”susahnya cikgu.., mana boleh dapat cikgu.., mana nak cari..” & macam2 lagi yang cukup menyakitkan telinga saya mendengarnya.

Sebab apa.. kalau boleh mereka nak senang sahaja. Semuanya cikgu perlu sediakan dari P&P, ABM, BBM contoh dan sebagainya semua cikgu sediakan. Jadi.. cikgu je yang beria2 nak mengajar, pelajar? Minggu depan minta kerja tak siap.. alasan, apa yang cikgu minta susah nak dapat atau tak dapat nak cari, tak ada bahan dan macam2 alasan lagi. Minta saja beli buku rujukan yang harga dalam rm14.. ‘takde duitlah, mahallah, buat apelah’ ..tapi tengok handset kalah handset cikgu, tengok kasut sukan kalah kasut cikgu,

Bila nak gunakan duit untuk pembelajaran cukup bekira, tapi pernahkan mereka bekira untuk habiskan dengan membeli ‘topup’ contohnya, pernahkan bekira mereka habiskan di cc bermain komputer game. Dan setiap kali lepas exam cikgu perlu buat postmortem cari kelemahan dan langkah mengatasi. Cikgu buat program pemulihan dan macam2 lagi.

Itulah pelajar2 sekarang. Susah nak cakap. Saya ada anak yang bersekolah juga, ingatan kepada saya dan semua biarlah anak2 kita tahu erti susah. Biarkan lah mereka bersusah sedikit tak mengapa. Memang kita ibu bapa tak sanggup tengok anak susah. Ingat juga pepatah melayu ”bersusah2 dahulu bersenang2 kemudian”, “Selalulah pandang ke bawah kalau kita di atas”. “Bila melihat bintang di langit jangan lupa rumput di bumi” & berbagai lagi. Jangan harap apa yang mereka nak semua mereka boleh dapat. Jangan sampai dengan kesenangan yang dikecapi akan melalaikan pelajar2 @ anak2 & kemudahan yg di nikmati disalah gunakan dan jangan pula tulisan ini disalah tafsirkan.

Ahad, 8 Mac 2009

SIAPA IDOLA KITA


Siapa idola kita ? persoalan ini terutamanya di tujukan kepada pelajar dan remaja malah sesiapa saja. Dalam kehidupan kita mencari hala tuju untuk hidup, sudah semestinya kita memerlukan matlamat dan panduan. Apa yang kita cari sebenarnya. siapa yang perlu kita ikut untuk di jadikan idola sebagai panduan dan contoh kepada kita? Ibu bapa kita, guru kita, kawan kita, pemimpin, penyanyi, ahli sukan, ahli perniagaan, ahli politik atau siapa sahaja? Kita boleh memilih siapa sahaja untuk di jadikan idola kita. Tidak salah asalkan ianya dapat membantu memperbaiki diri dan memberi kebaikan kepada kita.

Saya ingin menarik perhatian pada remaja kita sekarang, contohnya pada tahun lepas di kuantan telah diadakan satu pesta yang melibatkan artis-artis dan selebriti terkenal sebagai idola. Dikatakan pesta tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada rakyat. Ini tidaklah menghairankan memandangkan ramai artis popular dan bintang sukan yang terlibat di dalam acara yang dijalankan.
Orang ramai dan para peminat berpusu-pusu menghadirkan diri, sudah tentunya tidak mahu melepaskan peluang untuk berinteraksi dengan artis yang selama ini menjadi idola mereka. Namun hakikatnya, disebalik ‘kejayaan’ penganjuran program tersebut, tidakkah kita tertanya-tanya sama ada menjadikan artis dan bintang sukan sebagai idola akan benar-benar dapat membina sahsiah para remaja Islam kita hari ini? Kejadian-keajadian tidak bermoral yang begitu banyak dilaporkan sejak kebelakangan ini sudah tentu membimbangkan kita.

Hanya selang beberapa hari selepas pesta itui, sambutan Maulidur Rasul diadakan bagi memperingati hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Tetapi malangnya sambutan di kalangan muda mudi dan remaja terutamanya tidaklah sehebat sambutan yang dilakukan semasa pesta tersebut. Bukankah sewajarnya, pada hari itu atau hari sebelumnya dan hari-hari seterusnya, kita perlu menghayati rahmat yang telah Allah turunkan untuk alam semesta ini dengan memahami tujuan sebenar Rasulullah saw diutus kepada umat manusia.

Inilah idola yang sewajarnya dijadikan contoh oleh umat manusia, terutamanya para pemuda-pemudi yang merupakan harapan bangsa dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Kesedaran yang lahir daripada kefahaman tersebut seharusnya membuatkan kita insaf terhadap apa yang berlaku kepada sebahagian besar kaum muslimin diseluruh dunia. Umat Islam di seluruh dunia pada masa ini sudah tidak lagi dianggap sebagai umat yang terbaik. Umat Islam hari ini sudah jauh ketinggalan di dalam banyak aspek kehidupan. Bahkan, di sesetengah negara, umat Islam berada didalam keadaan yang cukup hina.

Kita ambil sedikit masa renungkan seketika, siapakah idola kita? Apa yang kita perlukan bukanlah idola yang akan terus menjerumuskan kita, terutamanya para pemuda-pemudi kita ke lembah kekusutan, namun apa yang diperlukan adalah idola yang akan dapat mengembalikan kegemilangan dan keunggulan sebagai insan terbaik.

Selasa, 3 Mac 2009

NILAI KEINDAHAN


Keindahan @ Estetika… ungkapan ringkas tersebut sering kedengaran di telinga kita. Allah itu indah, dan menyukai keindahan. Manusia, tentu saja juga memiliki kecenderungan menyukai keindahan, dalam berbagai aspeknya. Seni adalah keindahan. Islam mencintainya.

Keindahan menurut Kamus Dewan Edisi empat bermaksud perihal indah, kecantikan, ke­elokan dan estetika bermakna kecantikan, keindahan atau penghargaan terhadap keindahan (terutamanya dlm bidang seni)
Dalam Islam Al-Quran datang sebagai sesuatu yang indah, lebih dari puisi, di tengah budaya sastera yang tinggi di kalangan bangsa-bangsa Arab. Pedagang-pedagang Arab dan Gujerat mengislamkan tanah Melayu dengan dakwah
melalui pendekatan kesenian. Para ahli tarekat & sufi bernyanyi dan bersyair untuk mendekatkan diri kepada yang Kuasa.
Oleh itu apa yang salah dengan seni? Seni sebagai sebuah saranan, alat, ia bersifat neuteral. Puisi, ritma musik dan lagu, gerak tari, lukisan, atau apapun yang bernilai estetik, umpama ruang kosong. Ia menyimpan kuasa ketakwaan, sekaligus kuasa kemaksiatan. Ia hanyalah sebagian dari ribuan, elemen yang bernama “sesuatu”. Terpulang kepada pertimbagan dan kewarasan kita untuk menentukannya.
Keindahan menjadi bermakna ketika ruang kosong itu dipenuhi dengan kuasa ketakwaan. Ia dapat menjadi alat menuju ke hadirat-Nya. Ia dapat menjadi penanda betapa agungnya yang Maha Pencipta. Seni salah satu cara mendekatkan kita kepada Nya.

Isnin, 2 Mac 2009

KESEDARAN SENI


Assalamualaikum...

Seni itu satu kaedah untuk sesiapa saja memperlihatkan atau meluahkan apa yang tersirat dalam diri. Walaupun manusia kini lebih gemar "direct" yang kononnya lebih baik namun ada ketikanya manusia akan meluahkannya dalam bentuk kata-kata yang berkias umpamanya lirik lagu, pantun, syair, gurindam, sajak dan perumpamaan atau lukisan. Semua ini adalah di antara kaedah penyampaian maksud yang bersandarkan kepada keindahan namun ianya mendokong mesej yang jelas. Kaedah ini juga terdapat dalam Al-Ouran yang mana ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Quran itu diturunkan dengan susunan bahasa yang indah kiasnya tetapi jelas maksudnya bersesuaian dengan apa yang disukai Allah iaitu keindahan.

Dr. Sidi Gazalba menyatakan bahawa seni itu indah dan indah itu adalah baik. Menurut beliau sesebuah karya seni itu perlu ada unsur-unsur kebaikan, kebenaran dan nilai-nilai moral yang tinggi. Beliau banyak memperkatakan tentang kesenian dalam Islam. Menurut pengkaji seni, seni Islam telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. namun ketika itu kesenian Islam tidak begitu jelas, kabur dan terlalu sedikit. Ini kerana ianya merupakan zaman peralihan bagi umat Islam membetulkan akidah tauhid dan umat Islam juga dalam keadaan berwaspada dan bersiap sedia mengawasi ancaman pihak musuh.

Setelah Islam mula berkembang dan bertapak maka seni Islam mula tumbuh dan berkembang. Umat Islam yang berperang telah berkesempatan melihat dan mengenal kesan-kesan sejarah dan kesenian yang terdapat di daerah-daerah baru. Ramai yang tinggal menetap dan mengalami hidup dan suasana baru di tempat yang telah ditakluki. Dengan itu Islam mula bertapak di daerah baru. Proses asimilasi berlaku antara masyarakat, kebudayaan dan kesenian yang berlandaskan ajaran Islam. Sebagai Addin, Islam membawa satu cara hidup yang sempurna meliputi keduniaan dan akhirat. Islam sebagai Addin membuka ruang yang seluas-luasnya kepada para seniman untuk melahirkan pengucapan rasa keindahan dan pengalaman yang lahir dari naluri asasi manusia yang sememangnya mengarah ke arah keselamatan, kesenangan dan keindahan.

Maksud hadis Nabi s.a.w, "Allah itu indah dan sukakan keindahan". Bertitik-tolak dari sini, kesedaran tentang keindahan adalah antara suatu faktor penting dalam Islam. Keindahan adalah suatu kesedaran dan kebenaran dalam penciptaan. Allah s.w.t. menyuruh hamba-Nya menikmati segala yang baik-baik dalam kehidupan di dunia. Seseorang itu menghalang perjalanan dan naluri semulajadi manusia yang di beri Allah s.w.t. jika ia tidak mempunyai kesedaran terhadap keindahan. Sifat kemanusiaan menjadi kurang jika tidak mempunyai kepekaan mengenai seni.

Ramai manusia sukakan keindahan namun tidak ramai mengendahkan dan cuba memahami seni itu sediri. Seni itu mungkin tidak penting bagi mereka. Mereka mungkin tidak memahami apa itu seni.. "apa perlunya seni jika kita tidak berbakat?" "Saya tak kisah tentang seni sebab tiada bakat..", "saya tak galakkan sangat anak saya belajar seni sebab dia tak berbakat" dan "buat apa belajar seni, nak kerja apa nanti!". Itu antara soalan dan luahan-luahan yang biasa kita dengar dari ramai orang. Mana datangnya keindahan itu jika tanpa seni. Malah kita tidak sedar dalam kehidupan seharian, kita dikelilingi oleh elemen-elemen seni. lihatlah sekeliling kita. Ingin ditegaskan di sini sebenarnya seni tidak menuntut bakat kita tapi kesedaran kita sahaja.

Jika kita seorang yang tidak berbakat sekalipun sekurang-kurangnya jadilah seorang yang tahu menghargai seni, itu bermakna kita telah ada kesedaran tentang seni dan nilai keindahan itu sendiri. Kita juga akan sedar keindahan itu sebenarnya datangnya dari Maha Pencipta.

Ahad, 1 Mac 2009

GAMBAR KENANGAN

Sesaje nak tunjuk gambar kenangan bersama anak-anak buah, dan Family aku. Bukan senang nak dapat bersama @ bergambar bersama selepas aku berpindah nie.

Nampak gayanya masing-masing ada haluan sendiri, anak buah semua dah kerja pun tapi sekurang-kurangnya aku ader motivasi nak baiki kehidupan ku.

Ni gambar bersama anak-anak buah aku kat Kg masa Hari Raya Aidil Fitri tahun lepas. Fadzli baju hijau skrg sebagai QS d firm kat KL & Eyou baju merah skrg arkitek di UMP kat Kuantan.

Oh ye… nie gambar aku dengan isteri dan 3 orang anak aku… kat Bukit Frazer masa gi konvo aku 2007 . Anak itu je… kalau ader lagi kira rezeki baru hehe…!!